Saturday, January 30, 2010

TAKUTKAN ALLAH

1. Bekal Taqwa

Baqarah[197] Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

2.Arahan Allah supaya bertaqwa (takutkanNYA)

Hashr [18] Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.

Baqarah [196] Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).

Baqarah [203] ….Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.

Baqarah [231] ….Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Baqarah [233] ….dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

Maidah [35] Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan

Luqman [33] Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.

3.Takutkan Allah seperti dijelaskan dalam Quran

Taghabun [16] Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya)

3.1 Takutkan Allah walaupun tidak dilihat orang

Mulk [12] Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.

Qaf [33] (Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang

3.2 Takut serta mengharap

Sajadah 16 …mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

4. Balasan takutkan Allah

Nahl [30] Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertakwa: “Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan“. Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertakwa.

Rahman [46] Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga.

Ali-Imran [198] Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).

Ar-Ra’d [35] Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang bertakwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah Neraka.

Muhammad [15] Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya) dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka

Zumar [73] Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk).

Anfal [29] Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.

Hadid [28] Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Talaq [4]…. sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.

Talaq [5] …sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan membesarkan pahala balasannya.

4.1 Tidak ada ketakutan disana

Zukhruf [68] (Mereka yang bertakwa itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firmanNya): Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) dan kamu pula tidak akan berdukacita.

Fussilat 30 …Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

5. Takutkan Allah semata-mata

Baqarah 150…dan takutlah kamu kepadaKu (semata-mata) dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayat (mengenai perkara yang benar).

Al-Ahzab 39 …..dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).

Monday, January 18, 2010

SATU UMAT

Al-Maidah [48]….dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.

An-Nahl [93] Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan.

Az-Zukhruf [33] Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga),

Ada dua kategori umat di dunia ini iaitu umat Islam dan umat kafir (walaupun terpecah-pecah kepada bermacam-macam jenis). Keturunan Nabi Adam pada asalnya hanya satu, kemudian mereka berpecah-pecah dan akhirnya akan kembali menjadi satu, balik kepada Allah.

An-Nisaa [1] Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (adam) dan yang menjadikan daripada (adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai….

Al-Anam [98]….Dan Dialah yang mencipta kamu dari diri yang satu (adam)

Az-Zumar [6] Dia menciptakan kamu dari diri yang satu (adam), kemudian Dia menjadikan daripadanya, isterinya (Hawa)…

Baqarah [213] Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).

Anbiya [92] Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku. [93] Kebanyakan manusia masih berselisihan dan berpecah-belah dalam urusan agama mereka; (ingatlah) mereka semuanya akan kembali kepada kami (untuk menerima balasan).

Mukminun [52] Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertakwalah kamu kepadaKu. [53] Kemudian umat Rasul-rasul itu berpecah-belah dalam urusan agama mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka.

Ali Imran [102]……”jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam“.

Agama rasmi yang diterima Allah hanyalah Islam sahaja. Yang menjadi syarat untuk ke syurga.

Ali-Imran [19] Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam

Ali-Imran [85] Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi

Tuhan telah tunjuk 2 jalan, pilihlah jalan ke syurga, bukan ke neraka….

Al-Balad [10] Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?

Sunday, January 17, 2010

Pohonlah Keampunan Dan Kemaafan Sebelum Terlambat

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “ Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.”

Riwayat BukhariHuraian
Pengajaran hadith:
i) Setiap umat Islam adalah dituntut menyelesaikan segala kesalahan, hutang-piutang dan sebagainya di dunia ini sebelum berpindah ke alam akhirat di mana jika ada apa-apa hak orang lain padanya maka mestilah ia mengembalikannya dan jika tidak dapat dikembalikan hendaklah ia meminta perlepasan daripada pemiliknya.
ii) Termasuk juga hak-hak Allah S.W.T hendaklah diselesaikan seperti mengqadha’kan amal-amal fardu yang pernah ditinggalkan dahulu dan sebagainya.
iii) Sesungguhnya sesuatu perbuatan yang menyakiti hati orang atau makhluk lain akan menyebabkan dosa. Oleh itu kita diseru supaya segera meminta maaf dan bertaubat memohon keampunan selagi ada kesempatan (sebelum ajal mendatang). Jika tidak penyesalan yang amat besar akan ditanggung di akhirat kelak.

Wajib Mendengar Dan Mematuhi

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:“Mendengar dan mematuhi itu wajib ke atas setiap orang Islam sama ada dalam perkara yang ia suka
atau tidak suka, selagi ia tidak disuruh melakukan maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat,
tidak harus lagi didengar dan dipatuhi”
Riwayat Ahmad Dan Muslim
Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Peraturan yang baik dan menjurus ke arah kebaikan hendaklah dihormati dan dipatuhi. Begitu juga perlu ada kepatuhan terhadap ketua sama ada arahannya dipersetujui atau tidak, melainkan jika arahan itu menyalahi peraturan dan merupakan maksiat kepada Allah S.W.T.
ii) Menegur dan menasihati ketua yang mengarah melakukan perbuatan mungkar dan menyalahi adalah wajib kerana berbuat mungkar dan menyalahi peraturan itu merupakan suatu kezaliman. Sebaliknya ketua itu hendaklah diberi nasihat supaya tidak melakukan kemungkaran dan membuat sesuatu yang menyalahi undang-undang.

Sunday, January 10, 2010

Mehnah Dalam Kehidupan Bermasyarakat

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Mukmin yang mencampuri manusia dan bersabar atas penyiksaan mereka adalah lebih mulia daripada mukmin yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak bersabar atas penyiksaan mereka."

Riwayat Ahmad Huraian
1. Fitrah manusia adalah sukakan akhlak yang mulia. Oleh itu seharusnya setiap anggota masyarakat hendaklah menjadikan dirinya seumpama bunga yang menyenangkan hati semua orang yang melihatnya biarpun diketahui bahawa lain orang, lain sifat dan perangainya.
2. Pandai mengambil hati orang lain sekalipun emosi sendiri terpaksa dikorbankan adalah perkara lumrah dalam kehidupan bermasyarakat kerana sekiranya setiap orang mempraktikkannya nescaya tidak akan wujud jurang atau permusuhan di antara satu sama lain bahkan kehidupan bermasyarakat akan semakin teguh dengan adanya sikap saling hormat menghormati dan merendah diri serta kasih mengasihi.
3. Maka orang yang sentiasa sabar dan tabah dalam menghadapi kerenah kehidupan bermasyarakat sebenarnya adalah lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang memencilkan diri daripada masyarakat kerana orang sebegini tidak mementingkan diri sendiri tetapi sanggup berkorban demi menjamin keamanan dan keharmonian yang mereka semua idamkan. Sebagaimana kita tidak mahu menjadi kebencian orang, begitulah orang lain tidak mahu menjadi kebencian kita dan sebagaimana kita mahu disayangi, begitulah juga orang lain mahu disayangi. Oleh itu kehidupan bermasyarakat memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi.

Pesanan terakhir Rasulullah (Isi khutbah terakhir Rasulullah)

Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

Wednesday, January 6, 2010

Dugaan Menghapuskan Dosa

Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya:”Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata:”Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk.” Jawab baginda,”Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu. Kataku pula, “Semoga anda mendapat pahala berganda pula.” Jawab baginda:”Semoga!” Kemudian sabda baginda pula:”Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.” (Muslim)Huraian
Segala bencana, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin adalah menjadi "kaffarah" (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu. Anas berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." (at-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Antara dosa dan Penyesalan

Suka kotor?
Kalau rumah anda kotor, apa yang anda lakukan?
Selepas buang air besar atau air kecil(orang dulu-dulu panggil sungai besar, sungai kecil), apa yang anda buat pada kemaluan anda?
Kalau baju anda terpalit najis, apa yang anda lakukan?
Jawapannya hanya satu untuk semua situasi itu.

Cuci, bersihkan. Rata-rata tidak akan membiarkan dirinya lama dengan najis atau kekotoran. Kita akan cepat-cepat cuci. Sebab apa? Sebab kotor, jijik, sebab nanti tak sah solat, sebab nanti bau busuk dan sebagainnya.
Jadi, apa pandangan anda terhadap dosa?
Manakah yang lebih besar? Najis dan kekotoran material, atau dosa kepada Allah SWT?
Apakah bila anda berdosa, anda bersegera bertaubat menyucikan diri?
Saya pernah menulis dalam satu post yang lama di website ini.
Bahawa orang yang beriman, dia akan melihat dosa ibarat gunung yang hendak menghempap dirinya. Orang yang tidak beriman pula, dia akan melihat dosa ibarat lalat yang hinggap pada hidung, dia menguis dan lalat itu lari.

Itu perumpamaan terhadap orang yang sensitif akan hubungannya dengan Allah, dan orang yang tidak sensitif akan hubungannya dengan Allah.
Hari ini, saya hanya hendak mengajak kita duduk sebentar dan bermuhasabah, bagaimana kita melayan dosa-dosa kita? Adakah kita menganggap dosa itu satu perkara kecil? Hingga kita melengah-lengahkan taubat kita kepada Allah SWT? Apakah kita menganggap, dosa itu satu perkara yang bersih, sehingga kita tidak tergerak untuk mencucinya segera?
Kalau najis, kita berusaha menyisihkannya dari diri kita. Hatta tahi cicak, apabila kita nampak di dalam rumah, di atas masjid, kita akan menyapu buang. Jangan kata perkara najis, perkara y7ang tak najis, macam kertas bersepah, pun kita akan usaha kemas.
Tetapi dosa?
Apa yang kita lakukan dengan dosa kita?
Apakah dosa kita, lebih kecil dari najis dan kekotoran material?
Kalau najis dan kekotoran material, kita bersegera cuci, segera kemaskan, bagaimana dosa kita kepada Allah SWT? Dosa kita kepada manusia?
Apa yang telah kita lakukan dengan dosa kita?
Dosa ada kaitan dengan keimanan. Ini satu perkara, yang manusia kadangkala terlepas pandang. Itulah yang menjadikan dosa, lebih besar dari najis atau kekotoran lain. Sebenarnya, apabila kita melakukan dosa, maka keimanan kita terganggu. Itu sudah cukup menjadi sesuatu yang besar, kepada mereka yang hendakkan redha Allah SWT dalam kehidupannya.
Ada dua hadith RasulullahSAW yang mengaitkan hal keimanan, dengan dosa insan.
“Tidak akan mencuri seorang pencuri, jika ketika dia mencuri itu, dia beriman. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak, jika ketika dia meminum arak itu, dia beriman. Tidak akan berzina seorang penzina, jika ketika dia berzina itu, dia beriman” Al-Hadith.

Dari hadith ini, kita dapat melihat betapa apabila kita melakukan dosa, maka sebenarnya ketika kita melakukan dosa itu, hubungan kita dengan Allah terganggu. Kenapa apabila kita mencuri, kita tidak beriman? Kerana apabila kita mencuri, kita secara tidak langsung telah menafikan kewujudan Allah SWT yang sentiasa melihat kita.

“Barangsiapa antara kamu melihat kemungkaran, maka cegahlah dengan tangan. Jika tidak mampu, maka cegahlah dengan lisan. Jika tidak mampu juga, maka cegahlah dengan hati. Dan mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman” Al-Hadith.

Dari hadith ini pula, kita dapat mengukur meter keimanan kita. Selemah-lemah iman adalah membenci kemungkaran dengan hati. Tetapi adakah lagi iman kalau kita merasakan dosa itu sesuatu yang ringan, yang boleh dilengah-lengahkan pembersihannya, yang tak mengapa kalau kita lakukannya?

Kalau najis kita segera mencucinya, bagaimana dengan dosa kita?

Kehilangan sensitiviti sebegini, membuatkan kita lambat untuk kembali kepada Allah SWT. Semua orang tahu yang dia tak tahu dia mati bila. Mati boleh datang bila-bila. Tetapi kenapa manusia tak bersegera bertaubat kepada Allah SWT?

Kerana dia tidak rasa sensitif dengan dosanya. Kerana dia merasakan, dosanya adalah perkara kecil. Kerana dia merasakan, tidak mengapa untuk berdosa.

Manusia memang melakukan dosa. Kita tidak akan terlepas dari kesilapan. Tetapi adalah menjadi tuntutan, untuk kita bersegera memperbaiki kesilapan kita, mencuci dosa kita. Hal ini kerana, Allah SWT mencintai orang yang sering bertaubat dan menyucikan dirinya.

“Sesungguhnya Allah itu, mencintai orang yang sering bertaubat, dan menyucikan diri” Surah Al-Baqarah ayat 222.

Nah, bagaimana anda melayan dosa anda?

Adakah anda merasakan dosa anda lebih jijik dari najis? Atau anda merasakan dosa anda ibarat lalat yang hinggap di hidung? Dikuis terbang hilang?

Mari sama-sama kita muhasabah, menggerakkan diri untuk menjadi yang terbaik di sisi-Nya.

Menjauhi Riya’ Dan Mengutamakan Keikhlasan

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Adakah kamu mahu aku memberitahu kamu tentang suatu perkara yang aku takuti ke atas kamu daripada dajal? Mereka menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah! Bagindapun berkata:” Syirik khafi iaitu seorang lelaki bangun bersembahyang lalu dia memperelokkan sembahyangnya kerana ada orang yang memerhatikannya.”
Riwayat Ibnu Majah
Huraian
1. Di antara tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu lebih suka menyembunyikan kebaikannya sebaliknya tidak suka jika kejahatannya disembunyikan. Dia melakukan kebaikan semata-mata kerana mahukan keredhaan daripada Allah S.W.T.
2. Sebaliknya riya’ pula adalah mencari sesuatu untuk keuntungan diri daripada amalan yang dilakukan di dunia sama ada untuk mendapatkan pujian, sanjungan, hadiah dan sebagainya bahkan hal ini termasuk dalam perbuatan syirik (syirik khafi).
3. Perbuatan riya’ (suka menunjuk-nunjuk), jika telah menjadi satu tabiat, lambat laun akan menyebabkan orang yang melakukannya dipandang hina oleh manusia lain. Oleh itu ubat riak ialah dengan menyembunyikan amalan yang ingin diserlahkan oleh nafsu kecuali amalan yang tidak dapat tidak, mesti dizahirkan seperti solat berjamaah, berpuasa dan yang seumpama dengannya.
4. Orang yang riak adalah termasuk orang yang munafik. Maka tiadalah pahala bagi perbuatan baik yang dilakukannya itu di sisi Allah S.W.T, sekalipun ia terpuji di mata manusia.