Tuesday, August 26, 2008

Implikasi luas Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh

DALAM masa tidak sampai 12 jam pemilih kawasan Parlimen Permatang Pauh akan keluar mengundi bagi menentukan bukan sahaja kesudahan politik Anwar Ibrahim tetapi masa depan politik negara.Sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri itu menang atau tidak, implikasi pilihan raya kecil ini adalah luas dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke penyudahnya.Jangkaan umum menjurus kepada kemenangan Anwar. Yang menjadi persoalan hanyalah sama ada ia kemenangan besar atau tipis. Menang tetap menang.Yang sudah pasti adalah kempen pilihan raya kecil itu bukan sahaja sengit tetapi mengandungi unsur-unsur sensasi yang nyata banyak melanggar etika, adab dan tatasusila – daripada tuduhan liwat kepada pembunuhan, pengkhianatan, politik wang dan penyalahgunaan kuasa.Tetapi salah satu kesan jangka panjang yang memerlukan masa untuk diselidik dan difahami adalah tindakan beberapa watak terbabit menggunakan sumpah untuk membela diri.Apakah sumpah atas nama Allah atau sumpah di masjid ini boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan dijadikan amalan politik harian?Yang pertama bersumpah dengan nama Allah dan merujuk kepada balasan laknat adalah Saiful Bukhari Azlan yang mengaku dia telah diliwat oleh Anwar.Dia bersumpah di hadapan imam dan pegawai Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 15 Ogos, sehari sebelum penamaan calon Permatang Pauh.Walaupun sumpah Saiful Bukari itu didakwa tidak kena mengena dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh, namun menurut laporan media massa arus perdana dan alternatif ia menjadi bahan kempen yang hangat bagi Barisan Nasional.Tindakan Saiful Bukhari dicontohi oleh Timbalan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak apabila beliau bersumpah, juga dengan nama Allah, di sebuah masjid di Permatang Pauh.Mohd Najib bersumpah dia tidak pernah berjumpa dan tidak kenal dengan mangsa pembunuhan sensasi Altantuya Shaariibuu. Penasihat politik Mohd Najib, Abdul Razak Abdullah Baginda dan dua anggota polis sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh wanita Mongolia itu.Apa pun muslihat dan kesan mutakhir dua sumpah ini ke atas keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh dan kepada orang yang bersumpah, satu perkara yang dikhuatiri adalah implikasinya terhadap Islam.Apakah kesan sumpah ini terhadap orang Islam keseluruhannya dan terhadap pandangan orang bukan Islam kepada Islam?Perbuatan bersumpah ini boleh mencetuskan persoalan dan pertikaian yang berkemungkinan akan mencemar dan memburukkan lagi imej Islam di negara kita.Misalnya, apakah reaksi mahkamah sivil terhadap sumpah seperti ini? Adakah sumpah di masjid dengan menggunakan nama Allah atau Al-Quran boleh diterima sebagai bukti?Dalam keghairahan orang politik dan pihak-pihak yang bersekongkol dengan mereka menggunakan kaedah sumpah ini untuk membela diri, mereka wajib sedar bahawa tindak-tanduk mereka boleh menjejaskan akidah umat Islam dan mendedahkan agama Islam kepada sendaan orang bukan Islam.Adalah sangat merugikan Islam apabila pihak-pihak yang membelakangkan Islam di dalam tindakan rasmi dan peribadi mereka tiba-tiba bersumpah atas nama Allah dan Kitab Suci apabila tersepit.Di satu sudut lain pula, perbuatan bersumpah dengan nama Allah dan Al-Quran ini boleh diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang mahu hukum hudud diperkenalkan sebagai undang-undang sejagat bagi memperkukuhkan tuntutan mereka.

Tuesday, August 12, 2008

MAJLIS PEGUAM MALAYSIA


1. Sejak Barisan Nasional dibawah pimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan sejak Dato Zaid Ibrahim, sebagai de-facto Menteri Undang-Undang, cuba menawan hati Majlis Peguam dengan memberi kuasa kepada ahli majlis memilih hakim, dan memberi sagu hati kepada bekas-bekas hakim yang disingkir, Majlis Peguam Malaysia begitu garang sekali.2. Selepas rusuhan kaum tahun 1969, pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum di Malaysia telah bersetuju bahawa perkara-perkara sensitif seperti kedudukan Raja-Raja, bahasa rasmi, hak kaum-kaum, agama Islam sebagai agama rasmi, tidak akan dibincang atau dibahas secara terbuka. Sebabnya ialah kemungkinan perbincangan akan membakar hati pihak-pihak yang tersentuh yang boleh membawa kepada kestabilan negara terancam dan rusuhan kaum berlaku. 3. Semua kaum dan pemimpin-pemimpin mereka menghormati persefahaman ini semasa Tun Razak, Tun Hussein dan semasa saya menjadi Perdana Menteri. Ada juga cabaran-cabaran terhadap persefahaman ini tetapi tidak serius dan dapat ditangani.
4. Mungkin persefahaman ini menidakkan hak dalam demokrasi tetapi demokrasi adalah untuk kebaikan kita bukan kebaikan bagi diri kita harus dikorban untuk demokrasi. Kita tidak harus berasa malu kerana demokrasi kita kurang liberal dari demokrasi sesetengah negara maju. Apa yang baik bagi mereka tidak semestinya baik bagi kita.5. Yang utama dalam demokrasi ialah hak mengundi bagi rakyat bagi menentukan siapa membentuk Kerajaan. Di Malaysia memang rakyat memiliki hak ini dan sehingga kini boleh menggunanya untuk tentukan siapa menjadi Kerajaan. 6. Jika kita ada sekatan tertentu untuk mententeram dan menjaga negara, kita harus terima.7. Tetapi sekiranya ada yang melihat bahawa Kerajaan lemah dan tidak dapat pertahan persefahaman yang dipersetujui dahulu maka mereka mencabul persefahaman ini Negara akan hilang kestabilannya. Yang akan jadi mangsa ialah rakyat berbilang kaum negra ini. Di antara mereka ialah Majlis Peguam Malaysia.8. Setelah diberi "muka" oleh Zaid Ibrahim, de-facto Menteri Undang-Undang, dan beranggapan yang Kerajaan sekarang takut pada mereka, Majlis Peguam Malaysia bukan main lagi; sanggup juarai semua isu yang sensitif.9. Selain menuntut mereka pilih hakim, mereka bangkitkan perkara sensitif seperti kontrak sosial dan agama Islam.10. Apabila hakim Ian Chin tuduh saya kononnya ugut hakim-hakim, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenivasan, desak supaya Kerajaan siasat saya.11. Saya salahkan Kerajaan kerana sikap angkuh Majlis Peguam dan membelakangkan persefahaman yang dibuat dahulu.12. Sepatutnya Kerajaan melarang majlis berkenaan pengislaman anjuran Majlis Peguam Malaysia diadakan. Tetapi sebaliknya, Kerajaan biarkan rakyat protes. Protes boleh dihalang tetapi hati dan perasaan mereka yang memprotes dan lebih ramai lagi yang bersependapat dengan mereka terus meluap dan marah. Kemungkinan ialah perasaan marah ini akan meningkat kerana keangkuhan Majlis Peguam Malaysia yang masih ingin mengadakan majlis yang serupa pada masa terdekat.13. Jika perkara sensitif perlu dibincang, bincanglah dalam keadaan tertutup dan melibat hanya beberapa pemimpin yang bertanggungjawab sahaja. Hasilnya tidak perlu diheboh tetapi diserah kepada Kerajaan. Kerajaan pula janganlah takut dan utamakan populariti peribadi sahaja tetapi hendaklah fikir berkenaan kepentingan negara.

Sunday, August 10, 2008

MENGAJAR SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS

1. Saya mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kerana itu ramai yang menuduh saya tidak bersemangat kebangsaan Melayu, tidak utamakan bahasa saya. 2. Izinkan saya membuat sedikit penjelasan sebelum saya dihukum. 3. Pendapat saya ialah mereka yang bersemangat kebangsaan Melayu tidak harus utamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja tetapi juga melihat bangsanya bediri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia. Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan ilmu pengetahuan yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing dengan jayanya dengan bangsa-bangsa maju dan dianggap setaraf dengan mereka.
4. Kita diberitahu Nabi bersabda "Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China". Apakah dapat orang Arab tuntut ilmu orang Cina tanpa mempelajari bahasa Cina, lisan dan tulisan, terlebih dahulu? 5. Kita juga tahu orang Arab telah menguasai ilmu Sains, Matematik dan falsafah yang diterokai oleh orang Yunani (Greek) dan menterjemahkan ilmu-ilmu ini ke dalam bahasa Arab sebelum kaji selidik dilakukan untuk memperluaskan ilmu-ilmu ini. 6. Semasa bangsa-bangsa yang beragama Islam iaitu Arab, Turki, Uzbek dan lain-lain berjaya bangunkan tamadun Islam yang gemilang, bangsa-bangsa Eropah berada "di zaman gelap", zaman mereka tidak berilmu dan percaya kepada kuasa-kuasa ghaib terhadap segala kejadian alam. 7. Pada abad ke-15 Masehi, orang Eropah yang berkurun-kurun kagum dengan tamadun orang Islam mula sedar akan ilmu pengetahuan dalam bidang sains, perubatan, matematik, astronomi yang dimiliki orang yang berbahasa Arab serta sumbangan ilmu-ilmu ini kepada tamadun gemilang Islam. Paderi-paderi Kristian Eropah belajar bahasa Arab untuk mendapat akses kepada ilmu-ilmu yang berada dalam kutub-khanah milik Arab dan orang Islam lain. 8. Mereka mempelajari semua ilmu-ilmu ini dalam bahasa Arab dan menterjemahkan kedalam bahasa Latin, dan kemudian kepada bahasa-bahasa Eropah. Kemudian mereka pula membuat kajian dan memperluaskan semua ilmu-ilmu ini. Maka terdirilah tamadun Eropah yang terus maju hingga ke zaman sekarang. 9. Yang jelas daripada sejarah ialah penguasaan ilmu yang ada pada bangsa lain bermula dengan penguasaan bahasa bangsa-bangsa ini. 10. Apakah kita tidak mungkin mengadakan segelintir daripada orang Melayu mempelajari bahasa ilmu di zaman ini, iaitu bahasa Inggeris supaya mereka dapat menterjemahkan ilmu-ilmu ini kepada bahasa Melayu. Dengan itu orang Melayu lain boleh kuasai ilmu-ilmu ini dalam bahasa Melayu, tanpa mempelajari bahasa Inggeris. 11. Malangnya keadaan sekarang tidak seperti abad ke-15 dan sebelumnya. Ilmu di zaman dahulu terhad, dan tidak bertambah dengan pesat. 12. Di zaman ini ilmu Sains dan Matematik yang amat penting untuk membangun dan memajukan masyarakat manusia, kembang dan bertambah dengan pesatnya. Tiap hari, tiap bulan dan tiap tahun ilmu baru yang diperbaharui sepanjang masa, diperkenalkan oleh para saintis dan pengkajiselidik kepada masyarakat dunia. Ilmu matematik terutama algorizmi dan perhitungan yang kompleks digunakan untuk mengetahui apa hasil jangka panjang daripada sesuatu teori dan untuk menentukan gerakan bintang di langit supaya kapal angkasa dapat menemui sasaran setelah berjalan berbulan-bulan. 13. Dimasa yang sama banyak ilmu baru diperkenalkan yang berasas kepada kuasa elektrik, gerakan atom, sains halus atau nano science, asas-asas fisiologi kehidupan tumbuh-tumbuhan dan makhluk Allah dan berbagai-bagai lagi. 14. Hakikatnya ialah jumlah ilmu baru dan kepantasan perkembangannya tidak dapat dikejar oleh penterjemah Melayu yang sedikit yang ada. Harus diingat untuk menterjemah tiap ilmu khusus dalam bidang Sains memerlukan bukan sahaja kefasihan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi juga kepakaran dalam ilmu berkenaan. Kita tidak punyai dengan mencukupi orang yang berkebolehan seperti ini. Jika ada beberapa kerat orang seperti ini mereka tidak mungkin sanggup bekerja sebagai penterjemah seumur hidup mereka. 15. Sebaliknya jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris tanpa menunggu pengalih bahasa kita. Tiap-tiap tajuk yang terkini dan yang lama terbuka untuk kita menguasainya. Dengan itu kita tidak akan ketinggalan daripada segi ilmu pengetahuan berbanding dengan bangsa yang maju. 16. Sesungguhnya agama kita menuntut supaya kita kuasai ilmu-ilmu ini. Sebagai orang Islam kita perlu bersedia untuk mempertahankan umat Islam. Di zaman dahulu kuda perang, pemanah, pedang dan tombak memadai untuk pertahanan. 17. Di zaman ini kita perlu kereta perisai, meriam dan roket, pesawat pejuang dan pengebom, kapal perang dan kapal selam. Kita tak mungkin cipta dan bina semua ini tanpa ilmu sains dan matematik. Kita boleh beli daripada orang lain tetapi ini bermakna kita letak diri kita di bawah cengkaman mereka. 18. Jika kita ingin amal ajaran Al-Quran berkenaan dengan keperluan pertahanan bagi umat Islam maka penguasaan ilmu sains dan matematik perlu menjadi sebahagian daripada fardhu kifayah bagi kita. Ia bukan ilmu sekular seperti diperkata sesetengah orang. Ia adalah sesuatu yang diwajib keatas diri kita. 19. Jika kita abaikan ilmu ini semata-mata kerana kita lebih utamakan bahasa kita, dan dengan itu kita jadi bangsa yang kolot dan lemah, dan dihina oleh orang, kita tidak boleh dakwa yang kita adalah pejuang bangsa dan agama. Orang yang rela bangsanya dihina tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka. 20. Bagi saya pejuang bangsa yang betul-betul bersemangat perlu bermatlamat untuk menjadikan bangsanya bermaruah, dihormati oleh semua bangsa lain dan berkebolehan bersaing dalam apa juga bidang dengan kemungkinan berjaya. 21. Pemimpin dan pejuang yang hanya ingin disukai ramai dan kerana itu sanggup membiar bangsanya menjadi kolot dan hina, bukanlah pemimpin yang sayang bangsanya. Mereka hanyalah oportunis yang sanggup gadai bangsa sendiri asalkan mereka dapat kekalkan kedudukan mereka. Mereka ini bukan nasionalis dalam erti kata sebenar. 22. Bahasa jiwa bangsa. Tetapi ilmu menentukan keselamatan dan maruah bangsa.

Friday, August 8, 2008

DEB Sedang Tenat Atau Sudah Ditalkinkan?

BEBERAPA saat sebelum khatib Masjid Negara membaca khutbah Jumaat 15 Jun memuji “pemimpin negara” kerana menaikkan gaji kakitangan awam, seorang eksekutif kanan sebuah bank berbisik kepada saya.Katanya, di dalam suatu majlis anjuran Kelab Perniagaan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Business Club), seorang pembesar negara yang sangat besar berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan dihapuskan.Mengikut cerita beliau yang disampaikan secara tergesa-gesa kerana khatib akan memulakan khutbah memuji pemerintah, seorang eksekutif asing bertanya kepada pembesar yang sangat besar itu apakah syarat pemilikan Bumiputera yang dikecualikan di Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR) akan diperluaskan ke seluruh negara jika IDR berjaya.Pembesar yang sangat besar itu, menurut eksekutif bank terbesar di Persekutuan Malaysia itu berkata: “Jawapan ringkasnya adalah ya.”Saya macam tidak percaya apa yang saya dengar. Mungkin saya tidak memberi cukup perhatian kerana tidak mahu berkata-kata ketika khatib membaca khutbah atau mungkin juga kerana pendengaran saya sudah menjadi mangsa usia.Tetapi masakan seorang yang saya kenal begitu lama dan saya nampak setiap kali saya ke Masjid Negara untuk sembahyang Jumaat sanggup berbohong dan membuat fitnah di dalam masjid?Selepas solat Jumaat saya ke Bangsar untuk berjumpa dua orang wartawan yang tiada lagi bermajikan dan saya mengulangi apa yang dimaklumkan kepada saya di Masjid Negara.Secara spontan kedua-dua mereka mengeluarkan telefon selular masing-masing dan menunjukkan mesej sistem pesanan ringkas (SMS) yang berbunyi:“At a multi-racial multi-national KL business Club dinner, when asked if the IDR would be a model in the dismantling of the NEP in the whole country, the -- (I am deleting his identity) got an approving applause when he said, “The short answer is YES.”Dalam bahasa Malaysia (ya bahasa Malaysia bukan lagi bahasa Melayu) ia bermaksud: Di majlis makan malam pelbagai kaum dan negara anjuran Kelab Perniagaan KL, apabila ditanya jika IDR akan menjadi contoh perobohan DEB di seluruh negara (pembesar paling besar yang dimaksudkan itu) mendapat tepukan persetujuan apabila dia berkata, “Jawapan ringkasnya adalah ya.”Kalau dakwaan ini benar dan pembesar paling besar itu mengotakan apa yang dikatakannya, maka tiadalah lagi kuota pemilikan hartanah sekurang-kurangnya 30 peratus untuk Bumiputera.Bermula dengan IDR akan wujudlah kawasan-kawasan eksklusif, mewah, kosmopolitan dan internasional di mana kepentingan kaum majoriti iaitu Bumiputera tidak lagi menjadi pertimbangan atau mendapat perlindungan.Aneh seaneh-anehnya kerana sehari dua sebelum itu Bernama melaporkan Menteri Kewangan Kedua, Nor Mohamed Yakcop, sebagai berkata bahawa DEB terus relevan kerana matlamatnya ialah membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum."The spirit of the NEP must be kept alive, as its aim, among others, is to eradicate poverty among all races," he said during a live interview over RTM1.Walaupun tempoh DEB sudah lama berlalu, tetapi matlamat pokoknya seperti membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tetap diteruskan sama ada di dalam Dasar Pembangunan Nasional atau Dasar Pembangunan Wawasan sekarang.Tetapi dengan kenyataan terbaru ini, apakah bermakna bahawa ciri-ciri DEB tidak akan dilaksanakan lagi?Atau apakah ada dua versi kepada dasar pemerintah negara kini iaitu satu versi eksklusif untuk khalayak eksklusif seperti anggota Kelab Perniagaan Kuala Lumpur dan satu lagi versi untuk rakyat totok yang dihebahkan melalui RTM?Saya kurang pasti jika media massa arus perdana akur melaporkan ucapan dan soal jawab di majlis makan malam dan dialog Kelab Perniagaan Kuala Lumpur itu. Kalau ada pelawat dan pembahas yang terbaca laporan itu, sila maklumkan.

Tidak etika Anwar jadi PM 'pintu belakang'

Percubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri melalui "pintu belakang" dengan menyeru ahli-ahli parlimen BN melompat parti beramai-ramai adalah perbuatan yang tidak beretika dan tidak demokratik, kata bekas pemimpin PKR Dr Chandra Muzaffar."Kabinet yang ditubuhkan menerusi cara itu daripada segi moralnya tidak berkredibiliti. Parlimen sendiri akan tercemar. Badan eksekutif dan penggubal undang-undang akan dianggap oleh rakyat sebagai institusi yang kehilangan integriti," katanya hari ini.Memperoleh kuasa melalui pintu belakang akan merendahkanmartabat politik, katanya, dan Anwar juga tidak mempunyai mandatuntuk menggulingkan kerajaan sekarang yang dipilih secara demokrasi. Menurut laporan Bernama, Dr Chandra berkata Anwar terlalu taksub untuk menjadi perdana menteri secepat mungkin sehingga sanggup beliau berusaha keras memujuk sekurang-kurangnya 30 wakil rakyat BN menyertai PKR. "Saiz dan skala lompat parti yang diusahakannya itu amat sukar hendak dibayangkan. "Pernahkah misalnya terjadi di dalam dunia ini, di mana sebuah kerajaan yang mempunyai lebih 58 kerusi daripada gabungan pembangkang berterusan diancam dijatuhkan hanya kerana seorang individu - yang malahan tidak berada dalam Parlimen - sentiasa mendabik dada kononnya jumlah tertentu anggota parlimen akan lompat parti pada tarikh tertentu?" Dr Chandra dipetik sebagai berkata.Beliau menambah, usaha berterusan untuk menggulingkan kerajaan BN melalui perbuatan lompat parti telah mewujudkan keadaan tidak menentu dalam negara sejak beberapa bulan lepas."Jika ancaman lompat parti terus mengancam ketenteraman negara, ia adalah disebabkan ramai rakyat tahu bahawa pada satu ketika dahulu Anwar sebagai pemimpin BN dan kerajaan persekutuan telah memainkan peranan penting dalam menjatuhkan kerajaan negeri PBS yang dipilih secara demokrasi di Sabah pada 1994," katanya.Dr Chandra menegaskan, walaupun Anwar menyatakan yang pujukannya tidak melibatkan wang atau ganjaran lain, daripada segi moralnya masih salah bagi wakil rakyat melompat parti kerana ia merupakan pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat.Beliau berkata lagi, amat menyedihkan politik seumpama ini dilakukanoleh ahli politik yang dilihat sebagai berprinsip dan aktivis hak asasi manusia yang komited di sekeliling Anwar."Mereka sepatutnya cuba meyakinkan beliau yang ia lebih bermaruah untuk memasuki Putrajaya melalui pintu depan. Ini dengan cara memenangi pilihan raya umum ke-13 di peringkat persekutuan dan membentuk kerajaan menerusi undang-undang, dengan cara beretika," katanya, lapor agensi berita itu lagi.Dr Chandra menambah, jika Anwar memasuki Parlimen selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh antara 16-26 Ogos, beliau sepatutnya cuba merapatkan jurang yang memisahkan parti-parti Pakatan Rakyat dengan merumuskan program dan visi pembaharuan bersepadu, dan melupakan perkara lama yang sudah lapuk dan basi."Harapannya ialah beliau juga akan, sebagai ketua pembangkang, membentuk kabinet bayangan yang akan mendesak kerajaan BN untuk memperkenalkan sebanyak mungkin perubahan yang diperlukan."Inilah yang rakyat mahu beliau lakukan. Anwar tidak mempunyai mandat untuk menggulingkan kerajaan sekarang yang dipilih secara demokrasi melalui pintu belakang."