Tuesday, September 14, 2010

Batasan Tegas Antara Iman Dan Kufur

Batasan Tegas Antara Iman Dan Kufur
Hadith :
Daripada Jabir r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Di antara hamba Allah dan di antara kufur ialah meninggalkan solat.”
(Muslim dan at-Tirmidzi)
Huraian
Ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum mereka yang meninggalkan solat secara sengaja.
1) Golongan pertama berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai tanpa mengingkari akan kewajipannya, mereka tergolong dalam golongan yang fasik (melakukan dosa besar) tetapi tidak kafir. Manakala mereka yang meninggalkan solat secara sengaja dan menolak akan kewajipannya, maka mereka adalah kafir. Golongan ini juga berpendapat semua bentuk kesalahan di atas muka bumi ini masih boleh diampunkan oleh Allah kecuali dosa syirik.
2) Golongan kedua berpendapat mereka yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai, sama ada mengakui kewajipan solat atau tidak, semua mereka ini termasuk dalam golongan kafir dan terkeluar daripada Islam. Mereka ini hendaklah bertaubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah semula. Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW secara jelas menunjukkan bahawa ibadat solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelaku gugur keimanannya.
3) Menurut Imam al-Syafie pula bahawa sesiapa yang meninggalkan solat sedangkan dia seorang Muslim, maka dia harus ditanya: “Mengapa kamu tidak bersolat? Jika dia menjawab: Saya terlupa. Maka katakanlah: Solatlah engkau ketika sudah ingat. Jika dia menjawab: Kerana saya sakit. Maka katakanlah kepadanya: Solatlah semampu mu; berdiri, duduk atau berbaring atau dengan isyarat. Apabila dia menjawab: Saya mampu untuk bersolat, tetapi saya tidak solat dan saya akui solat itu wajib hukumnya. Maka katakanlah kepadanya: Solat itu adalah amal yang tidak boleh diwakilkan kepada yang lain. Ia wajib dikerjakan oleh kamu oleh itu bertaubatlah. Jika tidak kami akan membunuh mu.(Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafie karya Dr Muhammad A W al-Aqil).
Demikianlah seriusnya hukuman terhadap mereka yang meninggalkan solat secara sengaja.

Orang Yang Berbudi Mulia

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Bukanlah (golongan ini) daripada orang beriman yang sempurna imannya : orang yang suka mengecam, suka melaknat yang suka bercakap kufur dan yang suka mencarut”
Riwayat Ahmad
Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Orang yang berbudi mulia akan sentiasa berusaha menjauhkan dirinya daripada terlibat dalam pertelingkahan yang selalunya tidak berlandaskan pemikiran yang rasional kerana hal ini merupakan satu tindakan yang tidak produktif dan tidak berfaedah malah hanya akan berakhir dengan perpecahan dengan hidup saling bermasam muka di antara satu sama lain.
Ii) Islam menyuruh kita agar hidup bersatu padu, bersikap merendah diri dan tidak berlagak sombong. Ini akan memudahkan perhubungan dan kasih sayang sesama umat Islam di mana pemimpin masyarakat dan organisasi yang sebegini juga akan disenangi oleh para pengikut dan kakitangannya malah akan mudah mendapat kerjasama daripada mereka.
iii) Demikian juga kita dilarang menceritakan keburukan orang lain dengan melaknat, mengecam mencemuh, mencarut dan sebagainya kerana ini akan menyebabkan pergaduhan dan hilang rasa hormat antara sesama anggota masyarakat. Maka berlakulah ketegangan yang sebenarnya merugikan keseluruhan umat Islam itu sendiri.

Tuesday, June 1, 2010

Jauhi Daripada Perbuatan Yang Mendatangkan Bala


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya. ”
Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi
Huraian
1. Sesungguhnya bala Allah S.W.T akan menimpa hamba-hambanya yang bersekongkol dalam melakukan maksiat dan kemungkaran.
2. Selaku umat Islam kita hendaklah sentiasa berwaspada daripada melibatkan diri dengan perbuatan-perbuatan yang salah sama ada di sisi agama mahupun undang-undang kerana semuanya ini akan memberikan imej yang tidak baik terhadap Islam di samping menunjukkan contoh yang buruk kepada yang bukan Islam.
3. Adalah menjadi kewajipan untuk kita menegur sebarang perkara yang buruk sebelum ianya berlarutan menjadi satu budaya dalam masyarakat seperti maksiat, penindasan dan sebagainya kerana dibimbangi jika dibiarkan suatu masa kelak bala Allah akan menimpa yang akan mengenai seluruh makhluk di sekitarnya.

Tuesday, March 16, 2010

Kemuliaan budi pekerti

Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Allah Azzawajalla berfirman, “Kemuliaan adalah sarungku dan kesombongan itu adalah selendangku, sesiapa yang mencabut daripadaku salah satu daripada keduanya nescaya Aku akan menyiksanya.”
Riwayat Muslim
Huraian
1. Segala kepujian dan sifat kebesaran hanya menjadi milik Allah S.W.T. Oleh itu Allah memberi peringatan bahawa tiada sesiapapun dari kalangan makhluk-Nya yang layak memakai mana-mana sifat tersebut melainkan Dia sahaja.
2. Setiap muslim hendaklah sentiasa merendah diri, tawadhuk dan bersikap sederhana. Jangan sekali-kali bersikap buruk dan keji kerana ia adalah sifat iblis dan syaitan laknatullah yang sentiasa menderhaka Allah S.W.T.
3. Sombong maksudnya adalah menolak kebenaran dan menganggap remeh segala yang lain. Orang yang sombong akan merasa dirinya lebih baik, pintar, kaya dan hebat. Contohnya dapat dilihat pada diri Firaun, Qarun dan Abu Jahal yang bersikap angkuh dan tidak mahu menerima kebenaran.
4. Dalam surah Luqman ayat 18 Allah S.W.T. melarang kita daripada bersikap sombong sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan janganlah engkau memalingkan muka dari manusia (kerana sombong) dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri".

Tuesday, March 2, 2010

Panduan Bagi Orang-orang Yang Ditimpa Bencana

Hadith :
Dari Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a bahawa keduanya telah masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini?" Ia menjawab: "Aku berada dalam keadaan baik." Syaddad berkata kepadanya: "Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya - bersih dari segala kesalahan", dan Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: "Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat".

Catatan Amal Hingga hari Akhirat

Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya ada bagi Allah satu Malaikat yang diberikan kepadanya kuasa mendengar ucapan hamba-hamba Allah semuanya, maka tidak ada seseorang pun yang mengucapkan sesuatu selawat kepadaku melainkan Malaikat itu menyampaikannya kepadaku."
Ammaar bin Yasir r.a Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Ucapan selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w adalah satu ibadat yang sangat dituntut dari setiap umat Islam dalam setiap masa.
Ii) Ia sebagai menandakan ingatan, cinta dan kasih terhadap baginda di mana jasa dan pengorbanan baginda amat besar sekali terhadap Islam dan perkembangannya.
Iii) Orang yang tidak membiasakan dirinya dengan berselawat adalah dianggap sebagai orang yang tidak mengenang budi (tidak menyanjung) baginda sehinggakan syarak melabelkan mereka sebagai orang yang bakhil.
iv) Disebabkan besarnya fadhilat berselawat tersebut, maka Allah S.W.T telah menetapkan malaikat yang khusus bertugas sebagai penyampai selawat yang diucapkan terus kepada baginda.

Dunia Hanya Sementara

Hadith :
Dari Ibnu Ibnu Umar r.a katanya: rasulullah S.A.W memegang bahuku lalu ia bersabda:” Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)”. Dan adalah Ibnu Umar r.a berkata:”Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau. (al-Bukhari)
Huraian
1. Dunia adalah tempat untuk manusia beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya iaitulah alam akhirat yang kekal abadi.
2. Untuk itu, tiap-tiap amal ada waktunya di mana apabila luputnya waktu sesuatu amal belum tentu waktu itu akan berulang kembali. Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari bahawa waktu itu sebenarnya adalah umurnya yang jika habisnya suatu detik waktu maka berkuranglah jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya. Selepas itu kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi.
3. Oleh itu seseorang yang inginkan kebahagian yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang dengan percuma atau sebelum tiba waktu yang menghalang seperti sibuk, sakit dan sebagainya.