Monday, March 14, 2011

Golongan Yang Tidak Dipedulikan Allah Di Akhirat Kelak

Hadith :
Daripada Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim, Ahmad dan Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Fudhalah bin ‘Ubaid r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka : Seorang lelaki yang meninggalkan jemaah, menderhakai imamnya dan mati sebagai penderhaka. Seorang hamba lelaki atau wanita yang lari lalu mati. Seorang wanita yang ketiadaan suaminya di rumah padahal suaminya telah mencukupkan kepadanya belanja dunia lalu ia berhias selepas ketiadaan suaminya di rumah. Maka mereka tidak ditanya. Dan tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka iaitu: Seorang lelaki yang merebut pakaian Allah kerana pakaian Allah ialah kesombongan dan kainnya ialah kemuliaan. Dan seorang lelaki yang ragu mengenai urusan Allah dan putus asa dari rahmat Allah.”

(al-Bukhari, Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim dan Ibnu Asakir)
Huraian
Allah SWT amat benci kepada orang yang melakukan perkara-perkara dosa dan maksiat. Antara ancaman dan kutukan itu ialah Allah melaknat perbuatan tersebut, menjanjikan pelakunya dengan azab seksa yang pedih, memasukkannya ke dalam neraka, Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, tidak membersihkan dosa-dosa mereka dan tidak memandang mereka. Perkara-perkara maksiat yang dikutuk dan diancam itu menunjukkan bahawa Allah SWT sangat murka kepada mereka yang melakukannya. Apa yang dimaksudkan dengan “Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat” ialah Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang baik dan tidak menyatakan keredaan-Nya, malah Allah akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang murka. Menurut jumhur ahli tafsir, ia bermaksud bahawa Allah tidak akan berkata-kata dengan perkataan yang memberi manfaat dan menggembirakan mereka. Ada juga yang berpendapat bahawa Allah tidak akan mengutus malaikat kepada mereka untuk memberi penghormatan kepada mereka. Sementara maksud “Allah tidak akan memandang mereka” ialah Allah Ta‘ala akan memalingkan pandangan-Nya dari mereka. Manakala maksud pandangan Allah kepada hamba-hamba-Nya ialah rahmat dan taufik serta perlindungan-Nya terhadap mereka.

Thursday, February 17, 2011

Sebaik-baik Orang Yang Berhijrah

Sebaik-baik Orang Yang Berhijrah
Hadith :
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya:” Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.” (al-Bukhari)Huraian
Hijrah mengandungi hikmah yang besar sekali peranannya dalam pembangunan ummah. Suatu kumpulan masyarakat tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah rosak kerana kumpulan masyarakat itu bergantung kepada individu itu sendiri. Oleh itu hijrah amat ditekankan di dalam al-Quran dan disebutkan sebanyak lebih 28 kali di dalam berbagai bentuk dan makna. Dengan hijrah, hati, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin al-Khathab r.a yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum memeluk Islam dikenali dengan julukan “penghulu para pelaku kejahatan”, namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani, tawaddhu’ dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi berkembangnya agama Islam. Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan dari kenikmatan dunia yang fana.